JOHOR BAHRU – “Jangan lupa, masa saya jadi pembangkang dengan ‘mulut longkang’ inilah yang dedahkan skandal demi skandal”.
Demikian tegas Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Rafizi Ramli ketika menjawab kritikan sesetengah pihak yang menganggap beliau terlalu lantang bersuara mengenai isu dalaman kerajaan dan parti.
Menurut Rafizi, gelaran 'mulut longkang' yang dilemparkan terhadapnya bukanlah sesuatu yang baharu, malah gaya penyampaian tegas dan terbuka itulah yang banyak membantu membongkar pelbagai skandal sebelum ini.
“Bagus pula masa kita dedahkan kelemahan kerajaan dahulu, semua sokong tapi bila kita bincang kelemahan sendiri, tiba-tiba suara kena kawal.
"Tak boleh dah bercakap. Macam itu kah?” katanya dalam Jelajah Hiruk di sini pada malam Selasa.
Rafizi menegaskan bahawa tugas utama seorang ahli politik adalah berani melawan ketidakadilan, termasuk menegur kelemahan dalam kalangan pemimpin sendiri.
**media[3134145]**
“Dalam parti ini, hati kita memang keras. Kita dibentuk untuk melawan tapi rakyat di luar tak fikir soal politik sangat. Mereka cuma kesian tengok kita bila dikecam atau dipinggirkan,” ujarnya.
Beliau turut berkongsi mesej yang diterima daripada seorang penyokong yang mengikuti perjuangannya sejak pendedahan skandal National Feedlot Corporation (NFC).
“Ada yang hantar gambar saya pakai baju lokap, katanya dia simpati dan kagum dengan keberanian saya sejak dahulu. Saya baca mesej macam itu... kadang-kadang terdiam juga,” katanya.
Mengulas lanjut, Rafizi menyeru agar budaya politik yang matang dan terbuka terus dipupuk dalam kalangan pemimpin dan ahli parti demi kelangsungan perjuangan dan keyakinan rakyat terhadap PKR.